Newcastle 2-0 Liverpool. Siapa kata drama Inggeris tak hebat?


Salam dan selamat sejahtera. Tengok tak drama Inggeris semalam? Tajuknya seperti di atas. Walaupun cerita ni kurang hebat berbanding sinetron yang beratus-ratus episod, cerita ni tetap hebat dengan plot-plot yang menarik dan kadangkala menyentap jantung keluar daripada badan.

Pembelot beraksi. Bukan yang hitam putih tu. Yang merah tu yang pembelot! (Kredit : ibtimes)

Newcastle merupakan watak utama dalam drama ni. Mereka merupakan kelab bermasalah beberapa musim lepas. Untuk menambahkan impak kepada drama ni, penyerang mereka, Carroll dibeli oleh watak jahat, Liverpool dengan harga 35 juta pound di saat-saat akhir tingkap perpindahan Januari musim 2010-2011. Kejam sungguh Liverpool. Kehilangan penyerang Sepanyol mereka di saat-saat akhir tak boleh dijadikan alasan untuk mencuri penyerang orang lain. Musim 2011-2012 pula, Liverpool sekali lagi mencuri pemain mereka. kali ini pemain bek kiri, Jose Enrique.

Newcastle yang dijangka akan rebah musim ini mengejutkan semua orang. Mereka bangkit bagai phoenix yang bangkit daripada abunya. Walaupun tanpa pemain-pemain seperti Carroll, Enrique, Barton dan lain-lain lagi. Mereka berada di atas Liverpool dalam kedudukan liga. Dendam mereka hampir berbalas. Namun, sepertimana drama yang lain, telah tertulis yang Newcastle akan bertemu dengan Liverpool di tempat sendiri pada 1 April 2012. Peluang mereka untuk membalas dendam secara langsung atas segala yang mereka telah lakukan.

Perlawanan bermula dengan Liverpool menunjukkan corak permainan yang positif. Tapi dengan Suarez, Bellamy dan Carroll dalam kesebelasan utama, Liverpool nampak goyah kerana hanya ada 3 pemain di bahagian tengah padang. Jadi Newcastle menguasai bola daripada awal sehingga tamat permainan. Mereka bergerak dengan pantas ke kawasan lawan. Tapi dalam ramai-ramai pemain Liverpool ada yang menyerlah. Shelvey menunjukkan bukti yang dia lebih layak untuk main berbanding Jordan Henderson. Sepertimana yang dilaung-laungkan oleh sebahagian penyokong daripada awal musim lagi.

Andy Carroll yang digelar pembelot mempunyai peluang di awal permainan. Dia menanduk bola kehadapan dan mengejarnya sendiri. Dia yang tak pernah berlari selaju tu mengejutkan semua orang dengan menolak bola melepasi pertahanan di hadapannya dan kini dia hanya berhadapan dengan penjaga gol! Dia jatuh! Penalti!!!!!! Semua menjerit. Pengadil melayangkan kad kuning kepada Carroll. Dia berlakon menjatuhkan badan! Booooo~ Tak professional langsung berlakon. Tak mungkin dia jatuh sebab dalam kepala dia dah rasakan ada perlanggaran yang akan berlaku menyebabkan kakinya tersalah langkah dan rebah. Tak mungkin!

Mana ada kena tangan? Cikgu tak ajar ke? Kan bahu daripada bonggol atas tu sampai siku...haih~ (Kredit : Laman FB LFC Transfer Speculation)

Sejak dari insiden itu, Newcastle yang nampak lebih merbahaya. Walaupun ada insiden pertahanan menahan bola dengan tangan di pintu gol, namun disebabkan mereka adalah hero dalam cerita ini, pengadil hanya menutup mata dan meneruskan permainan. Tak mungkin dia sengaja tahan bola menggunakan tangan. Bola terlalu laju menuju tangannya. Dia tak sempat tahan guna badan. jadi dia menggunakan “bahu” nya. Tak ada apa yang salah dengan niatnya. Dia berniat baik.

Murah dan hebat! (Kredit : ibtimes)

Akhirnya mesin gol Newcastle, Papisse Cisse menjaringkan gol. Bola yang langsung tak nampak merbahaya ditanduk masuk melepasi Reina yang tak mampu berbuat apa-apa. Tapi untuk menambahkan drama, bola yang ditanduk mengenai tiang sebelum masuk. kalau ini sinetron kamera pasti akan zoom berulangkali dengan kesan bunyi yang setara untuk impak yang maksima. Cisse yang sebelum ni tak dikenali tiba-tiba muncul dan menggegarkan Liga Inggeris. Kenapa tiada siapa yang tahu tentang pemain ini sebelum ni? Sebelum ini, Demba Ba dan kini Cisse. Mungkin Newcastle sebagai hero drama ada simpanan pemain yang disorokkan daripada kelab lain di dunia ni.

Tak cukup dengan 1 gol, Newcastle akhirnya menambahkan jaringan, dan sekali lagi melalui Cisse. 2 gol! Untuk balas dendam terhadap 2 pemain yang dicuri daripada mereka. Walaupun Cisse dalam kedudukan offside ketika itu tapi memandangkan skrip dah ditulis tiada siapa boleh mengubahnya. Pengadil dan penjaga garisan telah melakukan yang terbaik. Mereka tidak boleh dipersalahkan. Mata mereka sangat tajam sehingga tak memerlukan teknologi untuk menentukan keputusan yang betul dalam perlawanan.

Penjahat selalu ada alasan. mana ada offside? (Kredit : Laman FB LFC Transfer Speculation)

Hero akhirnya mendapat kemenangan tapi drama belum berakhir. Penjahat yang ketinggalan memasukkan 3 pemain gantian untuk cuba mengubah keputusan perlawanan. Dan di hujung perlawanan, penjaga gol pasukan jahat, Pepe Reina dilayangkan kad merah. Dia memang patut dapat kad merah! Sebab dia tak boleh marah kepada pertahanan hebat pasukan hero yang menghalang lariannya hingga dia terjatuh ketika dia cuba untuk memulakan serangan kilat. Dia tak patut merapatkan kepalanya kepada kepala pertahanan pasukan hero. Kesian pemain pertahanan itu berguling-guling menahan kesakitan kerana kepala mereka bersentuh! Dia juga tak patut dilayangkan kad kuning. Tapi itu hanya untuk menambahkan drama. Untuk menambahkan simpati penonton kepada pasukan hero.

Memang patut dapat kad merah. Nasib baik tak retak kepala pertahanan terbaik pasukan hero! (Kredit : ibtimes)

Liverpool kini tertekan. Jose Enrique, pemain pembelot…kini terpaksa menjadi penjaga gol kerana mereka sudah membuat 3 pertukaran pemain. Semua penyokong pasukan hero tergelak puas. Drama masih belum berakhir. Suarez, penyerang pasukan penjahat dapat merampas bola daripada pertahanan terbaik pasukan hero namun ditarik oleh pemain itu. Tiada kad kuning kedua! Kekasaran teknikal seperti itu tiada kad?! Ya! Kerana ini pasukan hero! Mana boleh pemain terbaik dibuang padang. Akhirnya perlawanan ditamatkan setelah 4 minit berlanjutan dalam masa tambahan. Tamatlah drama membalas dendam oleh pasukan hero. Penjahat dikalahkan dan dimalukan dengan teruk. Dan mereka pulang dengan kekecewaan.

Klik. Tutup Astro. Klik. Tutup televisyen. Seronok jugak drama Inggeris. Tapi drama tetap drama. jangan lupa, dunia lebih daripada sekadar bola sepak. Di penghujung hari, lebih baik kita lepaskan semua bebanan kerana semakin lama kita pegang beban tu makin berat rasa beban itu. Sepertimana perumpamaan yang dibuat oleh seorang pensyarah tentang gelas yang berisi air. Berat air tidak bertambah, tapi semakin lama dipegang semakin berat rasa gelas itu. Jadi, jangan terlalu kecewa. Ini bukan poenghujung dunia. Letakkan gelas dan pergi tidur. Hehehe….Kita jumpa lagi dalam sambungan drama ni nanti. YNWA.

2 thoughts on “Newcastle 2-0 Liverpool. Siapa kata drama Inggeris tak hebat?

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s