LBM

Lagenda Budak Merah – Bahagian 9


Salam dan selamat sejahtera. Minggu lepas aku janji nak sambung cerita Steven sewaktu berlatih dengan pasukan England kan? Jadi aku tunaikan janji aku hari ni. Memandangkan pagi karang aku nak buat entri untuk reaksi aku lepas perlawanan, aku letak awal sikit bahagian kali ni. Boleh jadi bahan bacaan untuk yang tak tidur menunggu perlawanan pagi nanti atau yang baru bangun lepas tidur dari Isya’ tadi😉 Kepada yang terlepas membaca Lagenda Budak Merah ni boleh klik pautan yang aku sediakan di bawah ataupun klik sahaja pada LBM di bahagian menu di atas. Jangan lupa LIKE laman FB aku supaya tak terlepas bahagian seterusnya di minggu-minggu hadapan😉

Lagenda Budak Merah – Bahagian 1
Lagenda Budak Merah – Bahagian 2
Lagenda Budak Merah – Bahagian 3
Lagenda Budak Merah – Bahagian 4
Lagenda Budak Merah – Bahagian 5
Lagenda Budak Merah – Bahagian 6
Lagenda Budak Merah – Bahagian 7
Lagenda Budak Merah – Bahagian 8

Steven bermain untuk England pada tahun 2000 (Kredit : holymoly.com)

Untuk pengetahuan, bukan Steven seorang sahaja budak baru dalam kem England waktu tu. Jonathan Woodgate yang bermain baik dengan Leeds juga dipanggil oleh Keegan. Waktu dalam bas mereka berdua mempunyai perasaan yang sama. Gugup dan tak percaya mereka dalam perjalanan untuk berlatih bersama hero-hero England dan menaiki bas England! Keegan sangat baik kepada mereka. Dia tak habis-habis memuji Steven. “Tunggu je lah budak ni main nanti” Katanya. Mendengar ayat Keegan itu, semua pemain Liverpool menjerit “Kami bermain bersamanya setiap hari!” Setibanya di Bisham, Keegan melayan mereka berdua seolah-olah mereka adalah 2 pemain terbaik dalam skuad. Steven masih di awang-awangan. Dia tidak percaya dia dalam padang dan sedang menimang bola dengan Beckham dan Shearer. Pihak media sibuk mengambil gambar dan video. Steven mengintai-ngintai kamera yang ada. Dia mahu masuk tv untuk tunjukkan kepada orang kampungnya…heheh.. Kemudian mereka terus membuat latihan possession. Sesi ini sangat laju. Jauh lebih laju daripada Liverpool. Terlalu laju untuk Steven. Dia tidak dapat mendekati sesiapa. Fokus! Katanya dalam hati. Ada sekali dia dapat berpusing melepasi Keegan dan membawa bola menjauhinya dan Keegan memuji-mujinya begitu juga beberapa pemain lain. “Ahh..nampak tak? Steven akan bersama kamu tak lama lagi. Jaga tempat masing-masing(merujuk kepada tempat mereka dalam pasukan England)”. Steven tergelak. Tidak ada yang istimewa pun dengan gerakannya itu. Lebih kepada nasib. Kemahiran dan tahap kelajuan sewaktu sesi itu tidak pernah dialami oleh Steven. Setiap kali dia terlepas bola semua akan menjerit kepadanya “Jaga bola elok-elok!”

Walaupun dia melalui hari yang sukar dalam latihan pertama. Dia sentiasa mahukan lebih lagi. Dia mahukan sesi petang! Keesokannya dia dapat lihat sesuatu yang lebih menakjubkan daripada semalam. Mereka berlatih membuat hantaran silang dan penyudah. Shearer dengan penyudahnya. Tak terkata. Bang! Setiap kali ke penjuru gol. Tiada peluang langsung untuk penjaga gol. Ini juga merupakan kali pertama Steven berada dekat dengan Beckham sewaktu dia melakukan hantaran. “Macamana dia buat macam tu?” Tanya Steven kepada Michael. Sewaktu giliran Steven untuk menyudahkan hantaran Beckham, bola yang dihantar sangat cantik dan dah tertulis untuk masuk dalam gol walaupun sebelum Steven menyentuhnya! Hantarannya sangat tepat. Dia menghantar bola ketempat yang betul. Malah sebenarnya lebih sukar untuk terlepas bolanya itu. Selepas sesi hantaran dan penyudah mereka bermain satu perlawanan dan sekali lagi Beckham menunjukkan kemampuannya. Walaupun baru beberapa jam Steven berlatih dengan England dia sudah tahu siapa pemain hebat England. Seminggu sebelum ke Bisham Michael menceritakan kehebatan Paul Scholes kepada Steven. “Tunggu dan lihat dengan mata sendiri” Katanya.

Dia pelik. Kenapa Michael menggambarkan Scholes seperti seorang yang terlalu hebat? Dia dah banyak kali melihat Scholes main. Dan jawapannya dapat dilihat sendiri oleh Steven sewaktu sesi rembatan. Dia sangat bijak dan cergas! Dia menjaringkan gol dari serata padang. Hantaran, penyudah, rembatan, lambungan, kuasa dalam rembatannya dan pergerakan menjunam bola itu semuanya hebat! Bagaimana dia nak sampai ketahap ini? “Perhatikan pemain United. Perhatikan gerak geri mereka ketika dalam latihan dan luar latihan. Kamu boleh belajar daripada mereka”. Kata Keegan. Balik dari sesi pertama semalam Steven mengira waktu untuk kembali ke padang. Dia sangat bersemangat untuk berlatih sehingga dia dengan bodohnya membiarkan kesakitan yang dia rasai dibahagian belakangnya. Sekiranya dia di Liverpool dia pasti akan memberitahu fisio tapi dia tidak mahu memberitahu Gary Lewin, fisio England ketika itu dan dia sama sekali tidak mahu memberitahu Keegan. Dia hanya makan ubat tahan sakit. Dia dapat melalui sesi kedua dengan baik tapi bahagian belakangnya semakin teruk. Dia menelefon bapanya. “Pastikan mereka tahu keadaan kamu”. Nasihat bapanya. “Tapi mereka akan hantar saya pulang” Stevie menangis kekecewaan di biliknya.

Akhirnya dia berjumpa Lewin dan dia memanggil Keegan turun ke bilik rawatan. “Steven, kami perlu berhati-hati dengan kamu kerana Liverpool. Sekiranya kami biarkan kamu terus bermain, dan kamu semakin teruk, terlepas perlawanan, kami akan mendapat masalah. Biar doktor dan fisio tengok. Tak perlu hadir sesi ini dan kita tengok macamana nanti.” Kata Keegan. Dia terus menelefon Gerard di Liverpool. “Bawa dia balik kesini”. Keegan pergi berjumpa Steven dibilik. “Saya diarahkan untuk menghantar awak pulang ke Anfield. Tapi kamu dah buat yang terbaik. Teruskan. Saya akan terus memerhatikan awak. Harapnya selepas ini awak akan datang sebagai seorang ahli pasukan yang sebenar”. Kata Keegan cuba memberi harapan kepada Steven. Sebaik sahaja Keegan meninggalkan biliknya, Steven meraung. Dia berasa sangat kecewa. Dia balik ke Anfield dengan belakang yang sakit dan hati yang berat. Harapannya untuk bermain dengan pasukan senior England terhalang. Kalau aku kat tempat dia ni mesti kecewa gila. tak tau la cukup kuat ke tak nak hadapi. Tapi apa yang Steven buat lepas cedera ni?

Dia terus bermain dengan semangat. Peluang untuk Euro 2000 masih terbuka dan dia tahu jalan pintas untuk dipanggil adalah dengan bermain untuk England B-21 dalam pusingan kelayakan Kejohanan Eropah B-21. Jadi dia bermain bermati-matian untuk Liverpool supaya dia dipilih oleh Wilkinson. Keegan mengumumkan yang dia akan menonton perlawanan di Barcelona untuk melihat sekiranya ada pemain berbakat yang akan dibawa ke Belanda dan Belgium untuk Euro nanti. Satu lagi insentif menanti pemain B-21. Akhirnya Steven dipilih. Pasukan England B-21 ketika itu mengandungi nama-nama yang aku kenali seperti Jamie Carragher, Rio Ferdinand, Frank lampard, Kieron Dyer, Lee Hendrie dan lain-lain. Semua yang berada dalam kapal terbang menuju ke Barcelona ketika itu merasakan perlawanan menentang Yugoslavia ini bagaikan sesi ujibakat selama 90 minit untuk Euro 2000.

Setelah selesai mendaftar masuk di hotel mereka di Barcelona mereka turun untuk latihan terakhir sebelum perlawanan. Mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh dan semuanya nampak cergas. Semua orang sudah bersedia. Kualiti pemain yang ada ketika itu amat menakutkan. Pada waktu makan malam, Steven duduk semeja dengan Lee Hendrie, Kieron Dyer, Frank lampard dan Rio Ferdinand. Dia terlalu takut utuk bercakap kerana terasa kerdil apabila dibandingkan dengan pemain-pemain itu. Selepas makan, Wilkinson mengumumkan nama 11 pemain yang akan bermain esok dan Steven adalah salah seorang daripadanya. Dia terkejut. Selepas semua orang bersurai, Wilkinson mengajaknya duduk untuk bersembang. “Esok merupakan perlawanan yang penting untuk kamu. Ini perlawanan untuk bermain dengan baik. Keegan akan tengok kamu secara khususnya. Masih ada tempat untuk Euro. Pergi dapatkannya”. Di bilik, Steven berbaring di atas katilnya sambil fikirannya menerawang memikirkan cabaran yang menantinya. Telefonnya berbunyi. Ayahnya menelefon untuk mengucapkan selamat berjaya. Seperti yang dia biasa dilakukan.

Dia tidak sabar menunggu perlawanan dimulakan. Dia hampir sahaja berlari kesana sebaik sahaja waktu siang menjelma. Perlawanan ini diadakan di padang pasukan simpanan Barcelona di sebelah Nou Camp. Wilkinson menurukan pasukan yang kuat dengan formasi 3-5-2 dihadapan Richard Wright. Melihat keadaan sekeliling dalam bilik persalinan, Steven teruja dengan pemain-pemain berbakat yang mengisi bilik itu. Pemain pertahanan berkualiti, Carra dan Rio sedang memakai pelindung keting bersedia untuk bertempur. Kieron Dyer sedang menimang bola di satu sudut. Penuh bersemangat. Pemain tengah ketika itu adalah Stevie, Lampard dan Hendrie. Semua orang tahu betapa bagusnya Lampard di West Ham. Hendrie pula mungkin pemain tengah muda paling berbakat waktu tu. Dibahagian serangan ada Andy Campbell yang pantas. England juga ada Emile Heskey yang menerima banyak sorakan perkauman daripada penyokong Yugoslavia. Steven merasakan mereka sangat bodoh. Tapi hasil sorakan monyet mereka England bermain dengan lebih semangat untuk menghukum mereka. England membelasah Yugoslavia 3-0 dan Steven bermain dengan cemerlang. Ayahnya kemudian memberitahu yang pengulas SkySports, Ray Wilkins memuji persembahannya itu. Pujian itu sangat bermakna kerana datang dari bekas pemain tengah England. Pihak media juga menulis perkara-perkara menarik tentangnya. Karier Steven bergerak lebih pantas selepas perlawanan itu. Satu hari dalam bulan Mei, sewaktu Steven sedang berjalan-jalan di pusat bandar Liverpool telefonnya berbunyi dan tiada nombor yang keluar. Hanya “Private Number” tertera. “Steven, ini Keegan”. Ujar suara dihujung talian itu. Steven tidak percaya. Dia yakin yang rakan-rakannya sengaja mengenakannya. “Saya ingin memanggil kamu untuk perlawanan menentang Ukrain” Setelah 2 minit bercakap dia masih tidak percaya walaupun lelaki dalam telefon itu tahu banyak perkara tentang England dan persatuan bolasepak England. Dia buat tak endah selepas itu. Esoknya, sewaktu dia menanti sms rakannya yang mengenakannya, dia menerima sms daripada Pentadbir Pasukan England yang memberitahunya maklumat perjumpaan. Dia memang betul-betul dipanggil! Keegan mengumumkan pasukannya. Steven kini berpeluang untuk menunjukkan kemampuannya diperingkat antarabangsa…akhirnya.

Sampai sini sahaja untuk kali ini. Minggu depan aku akan sambung dengan cerita Steven dan sambutan harijadinya sewaktu dalam kem latihan England dan kali pertama Steven berhadapan dengan media untuk England. Jumpa minggu depan😉

Klik untuk ke MPHONLINE

11 thoughts on “Lagenda Budak Merah – Bahagian 9

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s