Jangan Pecat Kenny!


Semenjak Liverpool selalu kalah ni makin ramai yang nak Kenny Dalglish berhenti. Tak kurang juga yang nak Kenny dipecat. Pendek kata mereka nak Kenny tinggalkan Liverpool dengan apa cara sekali pun. Mereka nak yang terbaik untuk Liverpool. Mereka nak Liverpool kembali ke Champions League. Mereka nak Liverpool sentiasa menang. Jadi adakah pertukaran pengurus merupakan jalan terbaik? Tidak bagi aku. Aku tak mahu senarai pengurus Liverpool jadi lebih banyak daripada senarai Piala yang Liverpool ada macam sesetengah kelab tu. Liverpool sehingga kini baru ada 17 orang pengurus sepanjang penubuhan kelab dan seperti yang kita semua tahu kejuaraan liga sahaja sudah mengalahkan bilangan pengurus Liverpool dan aku mahu keadaan ini kekal selama-lamanya (“keadaan ini” merujuk kepada bilangan pengurus lebih sedikit daripada piala dan bukan bilangan piala yang aku nak kekal sampai bila-bila).

Kenny Dalglish 1989-1990 (Gambar asal dari Amazon)

Aku tahu Kenny dalam keadaan yang tak berapa nak menyebelahi dia. Tapi ini masih lagi bukan musim yang paling teruk untuk Kenny (dari segi tekanan). Dia pernah mengemudi Liverpool melalui zaman gelap dalam kejohanan Eropah sewaktu Liverpool digantung selama 6 tahun. Dia juga bersama Liverpool sewaktu kejadian Hillsborough. Dia juga tahu perasaan apabila Arsenal menjaringkan gol pada minit ke 91 dalam perlawanan akhir musim 88/89 untuk mencuri kejuaraan dari Liverpool. Banyak yang dia telah lalui. Jadi aku tak rasa dia terlalu tertekan sekarang. Sekurang-kurangnya tak terlalu tertekan untuk membawa balik zaman kegemilangan ke Liverpool. Kepada yang kata Kenny tak ada pengetahuan taktikal dan teknikal pula cuba fikir balik siapa yang cuba dimaksudkan sebenarnya? Pengurus yang menang gelaran pengurus terbaik sebanyak 3 kali dalam masa 5 tahun? Pengurus yang membawa Liverpool menjadi juara liga 3 kali dalam 6 musim? Pengurus yang kedudukan terendahnya dalam liga adalah tempat ke-2? Takkan tercapai semua itu sekiranya dia tak mempunyai pengetahuan. Dan kita perlu ingat, perginya Kenny dahulu merupakan detik perginya kejuaraan liga daripada Liverpool.

Aku tahu itu cerita lama. Tak boleh dipakai. Kalau ikut logik yang sama, Liverpool pun tak boleh digelar kelab yang hebat sebab itu dulu, bukan sekarang. Form is temporary, class is permanent. Seorang pengurus boleh kalah dan menang tapi koleksi piala yang pernah dimenangi tak akan berkurang dan sama sekali tak akan hilang daripada rekodnya. Ada yang mengatakan dia menggunakan taktik yang ketinggalan zaman. Dia gunakan seorang penyerang sebagai sasaran sementara dua orang pemain sayap membuat hantaran ketengah. Tapi dengan Carroll yang tidak menyerlah semua menuding jari kepada Kenny dan membuat kesimpulan mudah yang taktik Kenny adalah ketinggalan zaman dan tak boleh dipakai. Secara jujurnya aku tak nampak lagi taktik apa yang dia betul-betul ingin gunakan untuk Liverpool. Mungkin dia terpaksa membuat beberapa perubahan berikutan beberapa pemain tidak memberi persembahan terbaik musim ni. Mungkin dia ingin mengembalikan skuadnya dahulu. Yang menyerang dari semua arah. Semua pemain mampu memulakan serangan. Tapi dengan prestasi pemain yang ada sekarang semua itu nampak jauh. Dan sekali lagi Kenny disalahkan kerana membeli pemain-pemain ini. Bukan salah dia pemain tidak menunjukkan nilai mereka. Dia boleh bagi arahan dan ingatan sebelum perlawanan dan semasa perlawanan tapi yang beraksi diatas padang adalah pemain sendiri. Melainkan Kenny boleh kawal pemain menggunakan keyboard (aku pengguna komputer jadi pakai keyboard) tak boleh nak salahkan dia seorang atas prestasi buruk pemain.

Kita perlu ingat, skuad yang diwarisi Kenny ketika tahun 80-an adalah pemain-pemain Bob Paisley. Dia hanya perlu mencari pengganti Alan Kennedy dan Phil Neal, pemain bek kiri dan kanan yang cemerlang dibawah pimpinan Bob Paisley. Dan waktu 2 tahun pertamanya, dia dibantu oleh Bob Paisley sendiri. Pada musim pertamanya dia hanya ada 2 penyerang iaitu Rush dan Walsh namun mereka menjadi juara dengan bantuan 12 orang lagi pemain yang menyumbangkan gol musim itu! Pada tahun 1987 sewaktu Rush telah berpindah ke Juventus dia terpaksa membina semula jentera serangannya. Dia membeli Aldridge, Barnes dan Beardsley yang menjaringkan 56 gol dalam liga dan 64 keseluruhan musim itu antara mereka! Jika dibandingkan dengan skuad yang diwarisi dari Roy Hodgson, sangat jauh tahapnya. Prospek untuk menyaksikan gandingan Torres dan Suarez menimbulkan harapan untuk tengok Liverpool kembali ke puncak liga tapi Torres berpaling tadah. Meninggalkan Liverpool untuk Chelsea. Maka terjadilah pembelian panik dalam bentuk Andy Carroll. Aku malas nak bercerita panjang mengenai Carroll. Secara ringkasnya, dia mempunyai potensi. Lagi satu, tak logik untuk kita harapkan Liverpool kembali menjadi juara dalam setahun dua dan mungkin empat lima tahun selepas 22 tahun menunggu sedangkan skuad Kenny dahulu merupakan skuad yang menang bermacam-macam piala. Kita perlu lebih daripada itu untuk bangkit, untuk menyaksikan kelahiran semula pemain seperti Rush, Barnes, Beardsley dan Aldridge dan untuk menyaksikan Liverpool kembali ketempat asal mereka, di puncak liga.

Kenny umpama seorang pakar bedah. Dalam bilik pembedahan dengan Liverpool di atas meja terbaring nazak. Setiap yang dilakukannya akan menentukan hidup mati Liverpool. Kadangkala sesuatu perlu dikorbankan untuk menyelamatkan pesakit tapi tentu sekali bukan pakar bedah yang harus dikorbankan. Kadangkala pesakit umpama tak mempunyai peluang untuk terus hidup. Tapi kemudian kembali bernafas. Kadangkala nampak seperti semua berjalan lancar sehinggalah bunyi mesin menjengkelkan keluar menandakan pesakit kembali tenat. Kadangkala pesakit perlu alat bantuan untuk terus hidup. Kadangkala pesakit hanya perlu berlawan dengan diri sendiri. Perlu mempunyai semangat yang tinggi untuk hidup. InsyaAllah berkat kesabaran si pakar bedah dan semangat tinggi pesakit, semuanya akan kembali kepada asal. Dan semua ahli keluarga yang dari tadi menjerit memarahi doktor yang mengambil masa yang lama, dan pada suatu masa nampak seperti  sudah gagal, kini berterima kasih kepada doktor tersebut. Dalam hati doktor itu tidak ada sekelumit pun rasa marah terhadap mereka kerana dia juga sayangkan pesakitnya sepertimana yang lain…kerana dia juga KELUARGA. Mungkin idea yang kurang baik untuk seorang doktor melakukan pembedahan terhadap keluarganya sendiri tapi dia tetap mahu mengambil risikonya. Seandainya gagal dialah yang paling terkesan dan seandainya berjaya dia rela membiarkan orang lain lebih bergembira. Dia sanggup mempertaruhkan kejayaannya dulu untuk mengembalikan Liverpool yang dia sayangi.

Aku tak tahu selama mana lagi dia akan menjadi pengurus Liverpool. Kerana seandainya ada tekanan yang hebat kepada pemilik, dia mungkin dipecat. Jadi aku meminta supaya semua bersabar. Berikan dia masa. Seandainya dia memang tak mampu, dia sendiri akan meletakkan jawatan sepertimana yang dia lakukan pada musim 1990-1991. Dia mengumumkan persaraannya pada 21 Februari 1991 selepas seri 4-4 dengan Everton dalam pusingan kelima Piala FA sehari sebelum itu. Berikut adalah kata-kata terakhirnya kepada media.

Ini kali pertama saya memikirkan kepentingan diri sendiri berbanding kelab sejak saya di sini. Ini bukan keputusan yang baru dibuat. Perkara paling teruk adalah jika saya tak buat keputusan ini. Orang boleh persoalkan yang keputusan ini datang pada masa yang tidak sesuai tapi tak akan pernah ada masa yang sesuai untuk keputusan sebegini. Masalah utamanya adalah tekanan yang saya letakkan pada diri saya kerana keinginan kuat saya untuk berjaya. Tekanan yang datang sebelum dan selepas perlawanan akhirnya tak dapat ditahan. Sesetengah orang mungkin susah untuk memahami keputusan saya tapi keputusan ini muktamad. Saya akan mengkhianati semua orang sekiranya saya tidak memberitahu mereka yang terdapat masalah. Saya terlibat dengan bola sepak sejak umur saya 17 tahun. 20 tahun dengan 2 kelab paling berjaya di Eropah, Celtic dan Liverpool. Saya sentiasa dihadapan selama ini dan sudah sampai masa saya menamatkannya.

Dia akhirnya mendedahkan sebab dia berhenti. Dia tidak lagi dapat membuat keputusan yang tepat untuk Liverpool. Terutamanya selepas Hillsborough. Dia semakin tidak sihat kerana terlalu tertekan. Dan untuk kebaikan Liverpool, dia berhenti. Dia dapat lihat kesan keputusannya itu sewaktu melihat anak-anaknya menangis sewaktu dia pulang ke rumah hari itu dan sekali lagi sewaktu dia melihat pengumuman Graeme Souness sebagai penggantinya. Dia tahu Liverpool tak akan kembali kepadanya. Tapi sekiranya Liverpool menunggunya sehingga musim panas waktu itu dia akan kembali dengan pantas ke Liverpool. Kini dia berpeluang untuk menyambung khidmatnya untuk Liverpool. Menabur bakti. Menunjukkan sayangnya pada kelab. Dan sekiranya dia terpaksa meninggalkan Liverpool kali ini kerana tekanan ‘penyokong’, aku antara insan yang akan bersedih melihat seorang lagenda meninggalkan Liverpool selepas apa yang dia telah berikan selama ini…YNWA.

Sumber : Profil Kenny Dalglish | Pendedahan Kenny

5 thoughts on “Jangan Pecat Kenny!

  1. Disini walaupun Dalglish adalah seorang lagenda, tetapi tugas semasa beliau adalah pengurus. Dua perkara yang tidak sesuai disatukan. Apabila seseorang lagenda ataupun bakal lagenda berada dlm kelompok pengurusan dan pemain, adakalanya ramai yg tidak boleh terima bila ada pihak lain mengkondemkan mereka. Dalglish adalah manusia biasa, beliau juga tidak terlepas dari kesilapan. Kadang2 dihati ini, terkilan juga dengan strategi dan pembelian beliau musim ini. Tetapi hakikatnya Dalglish hanyalah seorang pengurus untuk memberi tunjuk ajar. Yang menterjemahkannya didalam padang sudah tentulah pemain2.

    Disebalik itu, ada juga yang marah apabila Gerrard dikutuk mengenai prestasinya. Adakah Gerrard itu dewa sehingga kesemua tindakannya tiada salah. Setiap peminat ada pandangan masing2. tetapi bila berpandangan cetek untuk memecat Dalglish, ia adalah satu kesilapan besar. Sebenarnya banyak pengurus yang ternama kini adalah dari kalangan kelab2 yang kaya raya. Mereka tidak bermasalah untuk berbelanja besar. itu bukanlah sesuatu yang dinamakan kepakaran seorang pengurus. Bagi SG lebih lama diberi peluang pengurus itu untuk membimbing pasukan adalah lebih baik. Kenapa?

    2 pengurus yang kita boleh anggap diktator dalam EPL. mereka sudah tentulah Alex Ferguson dan Arsene Wenger. MU juga memulakan perjalanan sukar diawal pimpinan Ferguson. Tetapi semakin lama dia membimbing, kita boleh lihat apa kejayaan yang mereka perolehi. Begitu juga Wenger, walaupun tidak banyak piala yang dimenangi, tetapi kelompok 4 terbaik sudah tentu dalam kocek mereka. Yang hebatnya Wenger ni, beliau boleh mentarbiahkan budak2 sekolah untuk menjadi bintang.

    Mungkin contoh saya ini membuatkan ada orang tak boleh terima kerana mengatakan kejayaan pasukan musuh. Tetapi untuk bolasepak, kita kenalah profesional untuk membuat perbandingan. Adakah kita mahu Liverpool disamakan seperti Chelsea yang sentiasa bertukar pengurus. Adakah dengan cara ini, Chelsea terus maju? Ada akal fikir2kanlah sendiri.

    • Ada orang kata dia lagenda sebagai pemain. Tapi bagi saya dia jugak lagenda sebagai pengurus. Tengok je rekod dia. Dia pun ada pengalaman sebagai player-manager. Jadi secara kasarnya pengalaman dia lebih daripada pengurus lain. Saya tak kisah sangat orang kritik dengan point yang kukuh. Tapi suruh pecat Kenny tu nampak tak sabar sangat. Dia memang banyak buat silap dari segi taktikal tapi dengan pemain yang tak perform, apa lagi dia boleh buat?

      Bab Gerrard tu saya akui. Liverpool akan main dengan baik bila Gerrard main dengan baik. Liverpool terlalu bergantung pada dia. Bila pemain lawan jaga Gerrard terus tak jalan. Gerrard dah tak selincah dahulu. Liverpool perlukan playmaker yang baru. Yang lincah macam Modric, Mata, Silva…jenis2 macam tu la…

      Betul contoh yang abang bagi tu. Mudah je…AF dan AW dah lama jadi pengurus. Dan nampak stabil pasukan mereka. Ada masa nampak macam nak jatuh tapi diorang bangun balik. Inilah masa terbaik untuk dapatkan kestabilan. Lagenda sebagai pengurus. Pemilik yang betul2 faham bola sepak dan sejarah Liverpool. Cuma perlu bagi masa. Jangan cepat melatah. Nanti bila semuanya dah membuahkan hasil kita boleh enjoy sama2..YNWA =)

  2. tak rasa kd akan dipecat..tapi penyokong hanya luahkan perasaan tak puas hati je. dah tak perform kena la kritik kejap, bagi diorang tahu supaya tingkatkan permainan diorg. Pressure bgus gak kena take note la apa yg silap n keep improve. tp x slalu penyokong nak tu betul

    Hmm manager kali kedua ni tak pasti kenny ni masih bagus ke x, mungkin bnyak salah taktik, line up, salah player x perform, isu suarez .tapi kops masih sygkan die dan masih sokong kd..harap die bg la peluang lg, setahun lg tgok mcm mne.

    YNWA

    • bukan apa…pemilik kali ni strict sikit…takut2 la…tapi aku rasa ramai lagi yang sayang Kenny daripada yang benci…YNWA.

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s