LBM

Lagenda Budak Merah – Bahagian 3


Steven Sewaktu berumur 7 tahun (diambil dari thekop.liverpoolfc.tv)

Salam dan selamat sejahtera. Masih meraikan kemenangan berganda lawan Mancs? Sama lah kita…heheh…Minggu-minggu sebelum ni aku dah ceritakan mengenai inspirasi Steven dan kisah Steven mencuri dalam Lagenda Budak Merah – Bahagian 1 dan Lagenda Budak Merah – Bahagian 2. Harini aku nak teruskan dengan cerita kegagalan Steven untuk ke Sekolah Bolasepak Kebangsaan. Owh..kepada yang tertanya-tanya…aku awalkan cerita ni sehari (sepatutnya Hari Rabu) untuk memberi laluan kepada reaksi aku lepas perlawanan Wolves pagi nanti. Selamat membaca!😉

Steven mula bermain bolasepak untuk Whiston Junior dalam Liga Ahad sewaktu umurnya 8 tahun. Jurulatihnya ketika itu, Ben McIntyre rapat dengan Dave Shannon jadi peralihan dari Whiston Junior ke Liverpool adalah mudah. Steve Heighway, Dave Shannon dan Hughie McAuley mengadakan latihan khas setiap Khamis dan Selasa di Pusat Sukan Vernon Sangster. Steven sentiasa menantikan hari istimewa ini untuk menunjukkan kebolehannya. Steven, Michael Owen dan Jason Koumas sentiasa berpakat untuk mengenakan baju Liverpool supaya mereka ditempatkan dalam satu kumpulan diakhir sesi dimana mereka akan bermain perlawanan 5 sebelah. Ini adalah kerana mereka tahu mereka bermain lebih baik bersama. Dave selalunya menjadi penjaga gol mereka dan seorang lagi pemain adalah Andy Moran. Mereka merupakan pasukan yang tak dapat dikalahkan buat setahun!

Steven dan Michael menandatangani kontrak belia bersama Liverpool manakala Jason Koumas memilih Tranmere Rovers

Steven bermain dengan baik dan berkembang dengan stabil di Liverpool dibawah bimbingan Steve. Setiap tahun dia akan menunggu keputusan samada dia dipanggil semula untuk tahun seterusnya. Dan Steve biasanya akan memberitahu bapa Steven supaya jangan risau kerana Steven akan dipanggil semula. Sewaktu umurnya 14 tahun, Steve Heighway memanggil Steven, Michael Owen, Stephen Wright dan Neil Murphy ke pejabat. Mereka dipanggil untuk menjalani percubaan di Sekolah Bolasepak Lilleshall, sebuah sekolah yang ditubuhkan oleh Persatuan Bolasepak England untuk mencari pemain berbakat untuk England. Steven sangat seronok waktu tu. Sebabnya? Lilleshall adalah laluan pantas untuk bermain dengan England. Pemilihannya sangatlah ketat. Daripada beratus yang datang hanya beberapa yang tinggal setelah beberapa sesi percubaan dijalankan dan Steven hampir berjaya sampai keperingkat akhir.

Dia menunggu dengan lama untuk keputusan panggilan percubaan sesi akhir. Setiap kali posmen sampai dia akan menjerit kepada posmen bertanyakan suratnya. Akhirnya, suatu pagi surat dari Lilleshall sampai. Tapi reaksi ayahnya ketika memberikan surat itu menjelaskan segala-galanya. Dia ditolak. Dia berlari kebilik dan menekup mukanya dengan bantal. Dia menangis semahu-mahunya. Dia tidak mengerti kenapa dia ditolak dan ayahnya bersetuju. “Mungkin mereka tahu kamu tak akan boleh tinggalkan rumah selama 2 tahun” Pujuk ayahnya. Rakannya Michael Owen berjaya ke Lilleshall. Walaupun dia gembira untuk rakannya itu dia masih marah kepada staf Lilleshall kerana menolaknya. 7 bulan kemudian. Dia menjumpai jalan untuk membalas dendam. Pasukan Lilleshall akan ke Melwood untuk perlawanan persahabatan. Semangatnya membuak-buak menanti perlawanan itu.

Lilleshall (Kredit : findmeaconference.com)

Pemain Sekolah Kebangsaan Lilleshall tiba di Melwood dengan blazer England mereka membuatkan Steven lebih marah. Sebaik perlawanan dimulakan Steven terus meluru mengejar pemain-pemain tengah mereka. Satu-persatu pelindung keting meletup dikerjakan sehingga pengadil terpaksa menenangkannya. Mereka kalah 4-3. Owen menjaringkan hatrik untuk Lilleshall. Wes brown dan Michael Ball turut bermain untuk Lilleshall waktu itu.Walaupun kalah namun Steven sangat berpuashati. Dia telah membuktikan kehebatannya dan kenapa dia patut dipilih. Semua pemain Lilleshall meluru ke arah Steven untuk bersalam selepas perlawanan. Dan apabila staf Lilleshall ingin bersalam dia terus berlari ke bilik persalinan. Dendam pada mereka masih kekal hingga sekarang.

Saya mahu awak di sini. Steven, saya tahu awak marah tapi percayalah saya boleh jadikan awak pemain yang lebih baik daripada yang Lilleshall boleh – Steve Heighway

Sebenarnya ditolak oleh Lilleshall adalah perkara yang baik kalau diikutkan dari pandangan aku. Sebabnya? Steven dapat tunjuk ajar dari Steve Heighway dan Dave Shannon. Mereka merupakan jurulatih yang cemerlang. Steven tak mungkin sampai ketahap sekarang tanpa bimbingan mereka. Dan aku ada terbaca artikel mengenai kegagalan sistem Lilleshall. Antara isunya ialah terlalu awal bagi remaja 14 tahun menjalani latihan seberat itu dan mereka akan ‘habis’ awal dalam kerjaya. Buktinya? Michael Owen. Syukur Steven kekal di  Liverpool.

Kegagalan Lilleshall

Sebenarnya semua orang yang terkenal dan berjaya dalam karier mereka mempunyai batu penghalang  yang menjadi sebahagian daripada cerita mereka. Namun kita selalunya hanya tahu mengenai pencapaian mereka sahaja. Melalui buku ini aku dapat tahu semua yang Steven lalui dalam mencapai kejayaannya dengan Liverpool. Buku ini sebagai pembakar semangat aku. Aku mahu jadi yang terbaik dalam apa jua yang aku buat dan ianya tidak akan dapat dicapai dengan mudah. Kepada semua yang sedang membaca, kisah ini boleh dijadikan inspirasi kerana Liverpool dan Steven sangat dekat dengan hati kita. Teruskan usaha dalam apa jua yang anda sedang lakukan. Sekiranya anda menghadapi kesusahan, fikirkan…apa yang Steven akan lakukan?😉

Untuk pengetahuan, banyak lagi cerita menarik dalam autobiografi ini. Aku hanya mengambil sebahagian kecil dan ceritakan semula dan ulas mengikut fahaman dan pendapat aku sahaja. Kalau nak baca buku ni tak rugi jika anda beli. Klik pautan di bawah untuk ke MPH Online. Jumpa lagi dalam slot yang sama pada hari yang err…lain minggu depan (Hari Rabu. Hari Selasa hanya jika pagi Rabu ada perlawanan sahaja). Salam dan YNWA.

15 thoughts on “Lagenda Budak Merah – Bahagian 3

Tinggalkan komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s