Heysel – 29 Mei 1985


Salam dan selamat sejahtera. Bila sebut tentang tragedi yang pernah melanda kelab kesayangan kita, semua akan sebut Hillsborough. Memang itu tragedi yang paling menyedihkan untuk semua warga Liverpool walaupun kita dari era berlainan dan jauh di Malaysia. Tapi untuk pengetahuan, sebelum tragedi Hillsborough, satu tragedi telah melanda Liverpool pada tahun 1985, di Stadium Heysel, Belgium.

Plak Heysel yang dibuat 2 tahun lepas (Kredit : liverpoolfc.tv)

Ringkasan

Kredit : sultanofsnow

Pada 29 Mei 1985, Liverpool bertemu dengan Juventus dalam Perlawanan Akhir Piala Eropah (European Cup) di Stadium Heysel, Belgium. Ketegangan antara penyokong di luar berlarutan ke dalam stadium. Penyokong mula membaling objek ke arah penyokong yang lain. Kemudian, penyokong Liverpool meluru ke arah penyokong Juventus. Penyokong Juventus cuba melarikan diri ke arah berlawanan tapi dihalang tembok batu dihujung tempat duduk. Ada yang memanjat dan menganggar untuk melompat dari tembok itu. Tapi kerana tekanan yang kuat, tembok itu runtuh menyebabkan 39 orang mati. Perlawanan tetap diteruskan selepas itu untuk mengelakkan rusuhan berlaku. Juventus menang 1-0 dan selepas itu semua kelab England digantung daripada perlawanan Eropah selama 5 tahun, 6 tahun untuk Liverpool. 14 penyokong Liverpool disabitkan kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat.

Video (maaf la dalam bahasa Cina)

Perincian

Liverpool melihat untuk mempertahankan status mereka sebagai Juara Eropah dan membawa balik Piala Eropah kelima mereka. Tapi mereka dikejutkan dengan berita perletakan jawatan Joe Fagan yang mengemudi mereka untuk Piala Eropah mereka yang keempat pada tahun sebelum itu (1984). Jadi Kennny Dalglish memangku tugas pengurus waktu itu. Memandangkan mereka mengalahkan Roma pada tahun 1984, seluruh Itali menyokong Juventus untuk memulihkan maruah mereka yang tercalar. Penyokong Itali yang terkenal dengan keganasan telah menyerang penyokong-penyokong Liverpool pada tahun 1984. Dan pada tahun 1985, Itali dan England sekali lagi bertemu…

Pemilihan Stadium Heysel telah dipersoalkan sebelum hari perlawanan lagi. Keadaan stadium yang teruk menimbulkan kerisauan. Arsenal yang bermain di stadium itu beberapa tahun sebelumnya menggambarkannya sebagai “sampah”. Tapi UEFA menolak cadangan untuk menukar stadium. Tambah merisaukan apabila UEFA mewujudkan ruangan neutral untuk penonton dari Belgium di sebelah ruangan Liverpool. Ruangan ini membolehkan penyokong Liverpool dan Juventus mendapatkan tiket daripada penonton Belgium yang mahu membuat duit menyebabkan terhasilnya ruangan bercampur antara penyokong kedua-dua kelab. Tapi ruangan itu akhirnya dipenuhi penyokong dari Itali. Yang lebih merisaukan adalah ruangan neutral tersebut hanya dipisahkan dengan pagar dawai.

Pihak stadium juga dilihat gagal menguruskan penonton kerana ada yang dapat masuk tanpa dikoyakkan tiket dan disebabkan stadium ini dibina menggunakan batu blok (cinder block) maka ada penyokong yang tidak dapat tiket dilihat menyepak untuk membolosi dinding stadium. Mengikut video yang aku letak pula, ada penyokong di dalam stadium mmeberi tiket mereka kepada kawan yang berada di luar untuk masuk sedangkan sudah ramai yang masuk tanpa tiket. Sejam sebelum perlawanan, penyokong dilihat mengibarkan bendera, menyanyi dan menyalakan flare. Tapi semakin lama suasana semakin tegang dan bertukar ganas apabila penyokong mula membaling batu. Ada yang mengatakan penyokong Juventus memulakan segalanya. Memori ngeri sewaktu di Rom mula menghantui penyokong Liverpool dan mereka mula membalas serangan penyokong lawan. Mereka kemudian meluru ke arah penyokong Juventus di bahagian neutral itu.

Penyokong Juventus melarikan diri ke arah bertentangan. Tapi mereka dihalang oleh tembok batu. Mereka mula memanjat dan melompat dari tembok tersebut. Tapi disebabkan tekanan yang tinggi, tembok tersebut runtuh dan menghempap penonton. 39 orang mati di tempat kejadian dan ramai lagi yang cedera kerana tertindih. Mayat-mayat dikumpulkan dan ditutup dengan kain rentang yang  besar. Suasana bertukar pilu. UEFA tetap meneruskan perlawanan kerana risau akan berlaku rusuhan sekiranya mereka membatalkan perlawanan tersebut. Apabila pemain keluar ke padang satu jam setengah selepas itu, mereka dapat lihat ruang kosong di belakang gol. Suasana ketika itu tak sama lagi dengan sebelumnya. Tapi mengikut Kenny Dalglish, tiada yang tahu mengenai adanya kematian ketika itu dan sekiranya dia tahu, dia tidak akan turun untuk bermain.

Perlawanan diteruskan. Liverpool tewas 1-0 hasil penalti dalam separuh masa kedua yang dijaringkan oleh Platini. Liverpool gagal mempertahankan kejuaraan tapi yang lebih teruk adalah mereka tidak akan dapat menambah koleksi Piala Eropah mereka lagi selepas UEFA menggantung semua pasukan Inggeris daripada bermain dalam kejohanan Eropah. UEFA kemudiannya menarik balik penggantungan pada tahun 1990-1991 kecuali keatas Liverpool yang hanya dibenarkan menyertai kejohanan Eropah setahun selepas itu. Penggantungan ini dikatakan hasil campur tangan Margaret Thatcher, Perdana Menteri Britain ketika itu. Dia mengatakan Liverpool patut digantung dari Eropah dan penyokong Liverpool adalah samseng.

Ramai yang menyalahkan penyokong Liverpool semata-mata tanpa melihat konteks. Aku bukan nak kata 14 orang yang dijatuhkan hukuman dan dipenjara 3 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat tu tak salah. UEFA yang memilih stadium usang buat perlawanan akhir juga perlu dipersalahkan. Penyokong Juventus yang membaling batu juga perlu dipersalahkan. Lagipun, penyokong Liverpool diserang pada tahun sebelumnya. Jadi aku faham kenapa ada yang bertindak luar kawalan pada 1985. Aku pasti tak akan jadi macam ni kalau mereka bermain di Bernabeu atau Nou Camp. Apapun, 27 tahun dah berlalu dan penyokong Liverpool dan Juventus pun dah berdamai. Terharu aku tengok mozek Amicizia masa perlawanan Liverpool dengan Juventus tahun 2005 dulu. Jadi, sebagai penyokong Liverpool, sila dalami kisah ni dan ingat…

Ada yang lebih penting daripada bola sepak dan salah satunya adalah persahabatan. Jadi setiap kali korang nak mengamuk/bergaduh dengan peminat pasukan lain, tak kiralah pasukan tempatan atau luar negara, fikir dalam-dalam. Berbaloikah?

Mozek Amicizia oleh penyokong Liverpool pada tahun 2005 (Gambar : AFP PHOTO/DAVID RAWCLIFFE)

Senarai nama penyokong yang pergi ke perlawanan tersebut dan tak pulang ke rumah….

Rocco Acerra (29)
Bruno Balli (50)
Alfons Bos
Giancarlo Bruschera (21)
Andrea Casula (11)
Giovanni Casula (44)
Nino Cerrullo (24)
Willy Chielens
Giuseppina Conto (17)
Dirk Daenicky
Dionisio Fabbro (51)
Jaques Francois
Eugenio Gagliano (35)
Francesco Galli (25)
Giancarlo Gonnelli (20)
Alberto Guarini (21)
Giavacchino Landinni (50)
Roberto Lorenzini (31)
Barbara in Margiotta Lusci (58)
Franco Martelli (46)
Loris Massore (28)
Gianni Mastroiaca (20)
Sergio Bastino Mazzino (38)
Luciano Rocco Papaluca (38)
Bento Pistalato (50)
Patrick Radcliffe
Demenico Ragazzi (44)
Antonio Ragnanese (29)
Claude Robert
Mario Ronchi (43)
Domencio Russo (28)
Tarcisio Salvi (49)
Gianfranco Sarto (47)
Mario Spanu (41)
Amedeo Giuseppe Spolaore (55)
Tarcisio Venturin (23)
Jean Michel Walla
Claudio Zavaroni (28)
Luigi Pidone (31)

Sumber : liverpoolfc.tv | bobdaron | wiki | tehtarikgelasbesar | contrast – memori King Kenny | sultanofsnow <– bacaan yang bagus ;-)

3 thoughts on “Heysel – 29 Mei 1985

Tinggalkan komen

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s